Facebook

Saturday, August 30, 2008

Thursday, August 28, 2008

Tragedi Sahur



Erm.... Hahahah tergelak sorang bemie biler bemie ingat balik zaman masa bemie kecik dulu nak bangun sahur...(maklum la dah nak masuk ramadhan.. tu yg teringat pasal peristiwa ni).. masa tu kalau tak silap bemie darjah 3 ... Bemie ni jenis org yg susah nak tido dan susah nak bangun tido dari kecik lagi.... aduh.... camner nak cakap ek.. ermm camtu laaa liat nak bangun tido... kejadian tu berlaku masa nak sahur 1 ramadhan... nak jadi citer malam tu bemie mmg tido lambat la tah apa yg bemie buat bemie pun tak ingat... cerita nya masa tgh sedap tido tu... mak bemie kejut dah banyak kali.. masa tu bemie mmg rasa cam baru jer nak terlelap dah kena kejut... adoiii... so bemie bangun dan sambung tido balik walau pun rumah dah terang pasal semua lampu buka... Agaknya mak bemie hangin setelah kejut bemie tuk sahur tu tak bangun2.. dier kata bemie bangun... tak nak gi sekolah ker... time tu bemie pun rase cam dah lambat nak gi sekolah terus mandi pastu siap pakai baju sekolah stoking... semua laaaa komplet siap dah ambik beg sekolah dah.. pastu.. tgk abah pakai kain pelekat lagi .. mak pakai kain batik... adik aku tido lagi (pasal masa tu diaorg tak pose kecik lagi') aku pun naik hairan apsal mak ngan abah tak siap lagi.. bunyik tadi cam dah lambat sgt nak gi sekolah ni... rupanya jam baru pukul 430 pagi...mak ngan abah siap gelakkan aku lagi...aku pun dengan muka kelakar seram selamba jer gi duduk kat meja dapur dan terus bersahur... tapi best ar 1st time sahur pakai uniform sekolah... time tu gi sekolah pakai seluar pendek warna biru... sejak dari kejadian tu..aku jarang bangun tuk sahur.. sebaliknya aku akan makan sebelum tido..(sebab tido lambat)... So moral of the story... anda leh gunakan taktik ni utk kejut anak anda bangun sahur..... hahahah

Bila ALLAH Cepat Makbulkan Doamu,

Maka DIA Menyayangimu. ...

Bila DIA Lambat Makbulkan Doamu,

Maka DIA Ingin Mengujimu... .

Bila DIA Tidak Makbulkan Doamu,

Maka DIA Merancang Sesuatu Yang Lebih Baik Buatmu..

"Ya Allah,Selamatkan aku daripada azabMu...dan masukkan aku berserta golongan para Anbiya,sahabat dan orang-orang mukmin kedalam syurgaMu"
Share:

Semak Semula Perkara-Perkara yang membatalkan Puasa




Terdapat beberapa perbuatan yang wajib dijauhi oleh orang yang puasa, kerana sekiranya perbuatan-perbuatan tersebut dilakukan pada siang hari di bulan Ramadhan, ianya akan membatalkan puasa dan mungkin akan menjadikan ia berdosa. Perkara-perkara tersebut adalah sebagaimana berikut:

1. Makan dan Minum Dengan Sengaja

Allah Subhabahu wa Ta’ala berfirman:

“Dan makan serta minumlah sehingga terang bagimu benang putih dan benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (datangnya) malam.” (al-Baqarah, 2: 187)

Dengan demikian, dapat difahami bahawa puasa itu adalah menahan diri dari makan dan minum. Ini kerana sekiranya orang berpuasa sengaja makan dan minum bererti ia telah berbuka (tidak berpuasa). Jika orang yang sedang berpuasa melakukannya atas sebab lupa, salah atau dipaksa, maka ianya tidak membatalkan puasanya. Perkara ini adalah berdasarkan dalil-dalil sebagaimana berikut:

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Jika seseorang itu terlupa sehingga dia makan dan minum, hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang memberinya makan dan minum.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/135) dan Muslim (1155))

“Sesungguhnya Allah memberi maaf kepada umatku kerana salah atau lupa dan kerana dipaksa.” (Hadis Riwayat at-Thahawi di dalam Syarhu Ma’anil Atsar (2/56), al-Hakim (2/198) Ibnu Hazm di dalam al-Ihkam (5/149) ad-Daruquthni (4/171) melalui dua jalan dari al-Auza’i, dari ‘Atha’ bin Abi Rabah, dari Ubaid bin ‘Umair, dari Ibnu ‘Abbas)

2. Muntah Dengan Sengaja

Barangsiapa yang muntah kerana terpaksa atau tidak sengaja, maka tidak membatalkan puasanya. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:

“Barangsiapa yang terpaksa muntah, maka tidak wajib baginya untuk meng-qadha puasanya, dan barangsiapa muntah dengan sengaja, maka wajib baginya mengqadhakan puasanya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (3/310), at-Tirmidzi (3/79), Ibnu Majah (1/536) Ahmad (2/498) melalui jalan Hisyam bin Hassan, dari Muhammad bin Siren, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih, sebagaimana yang disampaikan oleh Syaikhul Islam di dalam kitab Haqiiqatush Shiyaam, m/s. 14))

3. Haidh dan Nifas

Jika seseorang wanita haidh atau nifas, pada suatu bahagian siang tertentu (di bulan Ramadhan), sama ada di awal atau pun di akhir waktu, maka mereka harus berbuka dan mengqadhakannya. Jika mereka tetap berpuasa, maka puasa tidaklah sah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

“Bukankah jika haid dia tidak solat dan puasa?” Kami katakan, “Ya.” Beliau berkata, “Demikianlah kekurangan agamanya.”

Dalam riwayat lain disebutkan:

“Beberapa malam dia diam tidak mengerjakan solat dan tidak juga berpuasa pada bulan Ramadhan. Jadi, inilah kekurangan agamanya.” (Hadis Riwayat Muslim (79) dan (80) dari Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu)

Perintah mengqadhakan puasa juga terdapat di dalam riwayat Mu’adzah, dia berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Aisyah, “Mengapa orang haid mengqadha puasa tetapi tidak meng-qadha solat?” 'Aisyah berkata, “Apakah engkau wanita Haruri” (Haruri dinisbahkan kepada Harura’ (iaitu) negeri yang jaraknya 2 batu dari Kufah. Mereka yang memiliki sikap membantah dinisbahkan kepada kelompok tersebut (kelompok khawarij)) Aku menjawab, “Aku bukan Haruri, tetapi hanya (sekadar) bertanya.” ‘Aisyah berkata, “Kami pun haid ketika puasa, tetapi kami hanya diperintahkan untuk mengqadha puasa, tidak diperintahkan untuk mengqadha solat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/429) dan Muslim (335))

4. Suntikan Yang Mengandung Makanan

Iaitu menyalurkan zat makanan ke perut dengan maksud memberi makanan bagi orang yang sakit. Suntikan seperti ini membatalkan puasa, kerana memasukkan makanan kepada orang yang sedang berpuasa. Adapun jika suntikan tersebut tidak sampai kepada perut tetapi hanya ke darah, maka inipun juga membatalkan puasa, kerana kandungan cecair tersebut kedudukannya menggantikan kedudukan makanan dan minuman. Kebanyakan orang yang pengsan dalam jangka waktu yang lama diberikan makanan dengan cara seperti ini, seperti jauluz (glukosa) dan salayin (garam/Sodium) , demikian pula zat-zat yang diberikan kepada sebahagian orang-orang yang sakit asma, maka inipun membatalkan puasa.

5. Jima’ (Bersetubuh)

Imam asy-Syaukani berkata (Dararil Mudhiyyah (2/22)): “Jima’ dengan sengaja, tidak ada ikhtilaf (perbezaan pendapat) padanya bahawa perkara tersebut membatalkan puasa, adapun jika jima’ tersebut terjadi kerana lupa, maka sebagian ulama menganggapnya sama dengan orang yang makan dan minum dengan tidak sengaja.”

Ibnul Qayyim berkata (Zaadul Ma'ad (2/66)), “al-Qur-an menunjukkan bahawa jima’ membatalkan puasa sebagaimana halnya makan dan minum, tidak ada perbezaan pendapat dalam perkara ini.”

Dalilnya adalah firman Allah:

“Sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan Allah untuk kalian.” (al-Baqarah, 2: 187)

Diizinkan bergaul (dengan isterinya) di malam hari, maka dapat kita fahami bahawa puasa itu dari makan, minum dan jima'. Barangsiapa yang membatalkan puasanya dengan jima’, maka dia harus mengqadhanya dan membayar kafarat. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu, (dia berkata):

“Pernah datang seseorang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kemudian berkata, “Ya Rasulullah, binasalah aku!” Rasulullah bertanya, “Apakah yang membuatmu binasa?” Orang itu menjawab, “Aku menjima’i isteriku di bulan Ramadhan.” Rasulullah bersabda, “Apakah kamu mampu memerdekakan seorang budak?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Apakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?” Orang itu menjawab, “Tidak.” Rasulullah bersabda, “Duduklah.” Dia pun duduk. Kemudian ada yang mengirimkan (membawakan) satu wadah kurma kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Rasulullah bersabda, “Bersedekahlah dengan kurma ini.” Orang itu berkata “Tidak ada di antara dua kampung ini keluarga yang lebih miskin dari kami.” Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun tertawa hingga terlihat gigi serinya, lalu beliau bersabda, “Ambillah, berilah makan kepada keluargamu.” (Hadis sahih dengan berbagai lafadz yang berbeza dari al-Bukhari (11/516), Muslim (1111), at-Tirmidzi (724), al-Baghawi (6/288), Abu Dawud (2390) ad-Darimi (2/11), Ibnu majah (1671) Ibnu Abi Syaibah (2/183-184) Ibnu Khuzaimah (3/216) Ibnul Jarud (139) asy-Syafi’i (299) Malik (1/297) dan Abdur Razzaq (4/196). Sebahagian mereka memursalkannya dan sebahagian yang lainnya menyambungkannya. Lihat juga di dalam Fathul Bari oleh al-Hafiz Ibnu Hajar (11/516))

Source : http://fiqh- sunnah.blogspot. com


Share:

Perkara2 Yang Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpuasa



Seseorang hamba yang taat dan memahami al-Qur'an dan as-Sunnah tidak akan ragu bahawa Allah mengkehendaki kemudahan bagi hambanya dan tidak menginginkan kesulitan. Allah dan Rasul-Nya telah membolehkan beberapa hal bagi orang yang berpuasa, dan tidak menganggapnya sebagai suatu kesalahan jika beberapa perkara tersebut dilakukan. Berikut adalah beberapa contoh perbuatan tersebut beserta dalil-dalilnya:

1. Seorang yang berpuasa dibolehkan memasuki waktu subuh dalam keadaan masih berjunub

Di antara perbuatan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam ketika telah masuk fajar (waktu subuh) adalah masih berada dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudiannya beliau mandi di dalam waktu subuh dan melaksanakan solat.

Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma (yang ertinya): “Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109))

2. Seorang yang berpuasa boleh bersiwak (memberus gigi)

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Kalaulah tidak memberatkan umatku niscaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. (Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252))

Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam tidak mengkhususkan orang yang berpuasa ataupun yang lainnya, ini sebagai dalil bahawa siwak bagi orang yang berpuasa dan selainnya ketika setiap kali berwudhu’ dan solat. (Inilah pendapat al-Bukhari rahimahullah, demikian pula Ibnu Khuzaimah dan selain keduanya. Lihat Fathul Bari (4/158), Shahih Ibnu khuzaimah (3/247), Syarhus Sunnah (6/298))

Begitulah juga berkenaan siwak ini, ianya bersifat umum untuk dilaksanakan seluruh waktu sama ada sebelum zawal (tergelincir matahari) atau setelahnya. Wallahu a'lam.

3. Berkumur-kumur dan memasukan air ke hidung

Perkara ini adalah berdasarkan perbuatan Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wa Sallam berkumur-kumur dan beristinsyaq di ketika dalam keadaan berpuasa, tetapi melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan ketika istinsyaq (memasukan air ke hidung) Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “…..bersungguh- sungguhlah dalam beristinsyaq kecuali dalam keadaan puasa.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3/146), Abu Daud (2/308), Ahmad (4/32), Ibnu Abi Syaibah (3/101), Ibnu majah (407), an-Nasa’i (no. 87) dari Laqith bin Shabrah radhiyallahu ‘anhu. Sanadnya sahih)

4. Bercumbu dan mencium isteri dalam keadaan berpuasa

Aisyah radhiallahu ‘anha pernah berkata: “Rasulullah pernah mencium dan bercumbuber dalam keadaan berpuasa, akan tetapi beliau adalah orang yang paling kuat menahan diri (nafsu).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/131), Muslim (1106))

Dalam soal ini, golongan muda dimakruhkan berbuat demikian berbanding yang telah tua.

Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata: “Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shalallahu 'alaihi wa Sallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Beliau menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Beliau menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda (yang ertinya): “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya”.” (Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221))

5. Mengeluarkan darah dan melakukan suntikan yang tidak mengandungi makanan

Semua ini bukanlah termasuk di dalam perkara yang boleh membatalkan puasa.

6. Berbekam

Pada awalnya, berbekam adalah merupakan salah satu pembatal puasa, namun kemudiannya ia dimansuhkan. Terdapat hadis sahih yang jelas dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bahawa beliau berbekam ketika berpuasa. Ini adalah berdasarkan satu riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Bahawasanya Nabi Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah berbekam dalam keadaan sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/155 – Fathul Bari), lihat “Nasikhul hadis wa Mansukhuhu” (334-338) karya Ibnu Syahin)

7. Merasai makanan

Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma: “Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/ disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152))

8. Bercelak dan menitiskan ubat mata dan lainnya yang masuk seumpama

Semua perkara tersebut tidaklah termasuk ke dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, sama ada rasanya dapat dirasai sehingga ke tenggorokan atau tidak, inilah yang dikuatkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah di dalam risalahnya yang bermanfaat “Haqiqatus Shiyam” serta muridnya Ibnul Qoyyim di dalam kitabnya “Zaadul Ma’ad”. Imam al-Bukhari berkata di dalam kitab “Shahihnya”, Anas bin Malik, Hasan al-Bashri dan Ibrahim an-Nakhai memandang tidak mengapa bagi yang berpuasa.”

9. Menyiramkan air dingin ke atas kepalanya dan mandi

Imam al-Bukhari menyatakan di dalam kitab Shahihnya “Bab Mandinya Orang Yang Berpuasa” bahawa, “Ibnu Umar pernah membasahi (membasahi dengan air, untuk mendinginkan badannya kerana haus ketika puasa) bajunya kemudian dia memakainya ketika dalam keadaan berpuasa.” Asy-Sya’bi juga pernah memasuki ke bilik mandi dalam keadaan sedang berpuasa. Al-Hasan berkata: “Tidak mengapa berkumur-kumur dan mendinginkan badan dalam keadaan sedang berpuasa.”

Dalam suatu riwayat disebutkan,

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah menyiramkan air ke kepalanya dalam keadaan sedang berpuasa kerana dahaga atau kepanasan yang mengeringkan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud (2365), Ahmad (5/376, 380, 408, 430). Sanadnya sahih)


Sumber : http://fiqh- sunnah.blogspot. com
Share:

Jawapan kepada KENAPA....


KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; ‘Kami telah eriman’(‘I am full of faith to allah’) sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui org2 yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yang berdusta

(Surah AL-ANKABUT ayat 2-3)


KITA BERTANYA: KENAPA AKU TAK DAPAT APA YANG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB

“Boleh jadi kamu membenci sesuatau tu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,padahal ia amat buruk bagimu,ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.’

(Surah AL-BAQARAH ayat 216)



KITA BERTANYA: KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB

“ALLAH tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya”

(Surah AL-BAQARAH ayat 286)



KITA BERTANYA: KENAPA RASA FRUST?

QURAN MENJAWAB

“Janganlah kamu bersikap lemah,dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah org2 yang paling tinggi darjatnya,jika kamu org2 yang beriman”

(Surah AL-IMRAN ayat 139)



KITA BERTANYA: BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB

“Wahai orang-orang beriman!Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan) ,dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh,di medan perjuangan,dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah( be fearfull of ALLAH The Almighty)kamu kepada ALLAH supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

“Dan mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang;dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”

(Surah AL-BAQARAH ayat 45)



KITA BERTANYA: APA YANG KITA DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB

“Sesungguhnya ALLAH telah membeli dari org2 mu’min diri,harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka……..?

(Surah AL-TAUBAH ayat 111)



KITA BERTANYA: KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB

“Cukuplah ALLAH bagiku ,tidak ada Tuhan selain dari NYA….Hanya kepadaNYA aku bertawakkal.”

(Surah AL-TAUBAH ayat 129)



KITA BERKATA: AKU TAK DAPAT TAHAN!!!!

QURAN MENJAWAB

“………………….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH.Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan kaum yang kafir.”

(Surah YUSUF ayat 12)


JANGANLAH KITA MENGELUH RAKAN-RAKAN…KERANA ADA ORANG YANG LEBIH BESAR DUGAAN BERBANDING KITA…..HANYA PADA NYA KITA BERSERAH…..

Share:

Petua Untuk Anak



Ramai ibu bapa selalu lupa untuk menasihati anak-anak ketika anak sedang tidur.

Ini ada satu petua dari ibu kawan saya


1.setiap malam apabila anak tidur hendaklah kita wiridkan Ya Latif ke umbun2 kepalanya sebanyak yg mungkin atau memadai 100 kali.

2.membaca surah al fatehah 1 kali, alam nasyrah 1 kali

3.bercakap-cakaplah dengan anak ketika dia sedang tidur dengan menyeru kepada nama penuhnya berbinkan atau berbintikan kepada kita sebagai ibu kandung mereka. percakapan itu hendaklah berupa nasihat, pujian dan berceritalah tentang perasaan kasih sayang kerana sesungguhnya percakapan kita kepada anak yg sedang tidur itu sangatlah bekesan kepada jiwa dan rohnya.

4.apabila kita sedang berbual-bual dengan anak sewaktu dia sedang tidur kita akan lihat matanya bergerak-gerak, walaupun dia sedang tidur.

5.ayah dan ibu hendaklah selalu menyapu air lebihan wuduk yang ada pada kita misalnya air yang masih basah di tangan ke muka dan umbun-umbun anak.

Cubalah petua itu dan insya allah kesannya akan anda dapat lihat sendiri.

Selamat mencuba.....
Share:

Wednesday, August 27, 2008

Aziz M Osman's Wedding














Share:

Wedding Alin and Datuk Y

















Share:

Kaedah solat sunat istikharah

Kaedah solat sunat istikharah utk panduan kita bersama :-


Lafaz dan niat ..



Sahaja aku solat Sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.


Kaedah 1
Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, baca ayat Al-Kursi (7 kali). Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang kedua, baca Surah Al-Ikhlas (11 kali). Dalam sujud yang terakhir, baca tasbih/doa berikut sebanyak 40 kali:



Sebelum bangkit dari sujud, mohonlah kepada Allah S. W.T. dipertunjukkan jalan yang betul dalam membuat keputusan dan pilihan.



Doa Selepas Solat Sunat Istikharah:
Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu, aku minta kekuatan dariMu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau berkuasa, aku tidak berkuasa, Engkau mengetahui dan Engkaulah yang paling mengetahui perkara-perkara ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka tentukannya untukku dan permudahkannya kepadaku, jika kamu mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku dan kesudahan urusanku buat masa kini dan masa akan datang maka elakkannya dariku dan elakkan diriku daripadanya, tentukanlah kebaikan untukku di mana sahaja aku berada sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu."


Kaedah 2 (yang lebih ringkas)
Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang pertama, baca Surah Al-Kafiruun (1 kali). Selepas membaca Al-Fatihah pada rakaat yang kedua, baca 1 Surah Al-Ikhlas (1 kali). Selepas selesai memberi salam, bacalah doa seperti dalam Kaedah 1 di atas.

Share:

Penting ker Cantik... (Khusus Untuk Gadis/ Wanita)



Cantik itu penting tetapi tidak usah terlalu dipentingkan. Ada orang hingga tidak sanggup keluar dari rumah kerana merasakan dirinya tidak cantik. Bagi wanita kecantikan adalah syarat hidup sempurna, sebenarnya bagi lelaki wanita cantik bukan syarat kebahagiaan.

Lelaki yang mudah terpegun dengan kecantikan selalunya tidak setia. Apabila pasangannya mula kelihatan hodoh, dia mudah terkalih perasaan. Tika itu dia mungkin merasakan cintanya telah tawar dan hanya manis kembali tatkala melihat wanita-wanita cantik di sekelilingnya.

Tidak usah perangkap lelaki dengan kecantikan anda yang palsu. Ramai wanita menghiasi wajahnya terlalu hingga memangsakan ramai lelaki tetapi kemudian ditinggalkan setelah wajah sebenar terserlah. Sudah tentu anda tidak mampu bersolek tebal 24 jam. Tapi itulah yang
anda lakukan tatkala di alam percintaan. Tiba-tiba suami anda terkejut melihat anda tidaklah secantik sewaktu di alam percintaan dahulu. Tanpa mekap wajah anda biasa saja.

Kajian saya mendapati segelintir lelaki rasa tertipu pada hari kedua perkahwinannya. Pada hari kedua dia sudah dapat melihat wajah sebenar isterinya, yang selama ini ditopengi mekap tebal sepuluh inci

Kecantikan dan bercantik-cantik itu memang penting, tapi tak usah hingga menenggelamkan wajah anda yang sebenar. Anda tentu tidak mahu orang menggagumi anda hari ini dan esok melupakannya. Berhiaslah seadanya untuk mencerlahkan keserian wajah.

Wajah yang berseri lebih berkesan daripada wajah buatan yang kelihatan cantik sangat. Wajah yang berseri cukup dengan mekap seadanya.

Kecantikan umpama kereta. Ketika baru dibeli, rekabentuk dan warnanya memukau. Barunya harum dan seronok dipandu. Semakin lama semakin hilang serinya. Jika harganya mahal orang masih terliur melihat reka bentuknya walaupun warnanya telah mula kedam dan berdebu. Lama-lama ia tidak dipedulikan lagi kerana model-model baru sentiasa keluar dan kecantikan model-model baru ini sentiasa mengatasi.

Orang yang dahulunya membeli kereta berkenaan kerana cantik kini mula berfikir untuk menukarkannya. Persoalan cantik tidak akan ada kesudahan. Yang betul, membeli untuk kegunaan dan kekal sayang meskipun sudah ketinggalan zaman.

Jika anda tidak cantik, tak usah bersusah hati sebab tidak semua lelaki mementingkan kecantikan wajah sebagai syarat berteman. Ada lelaki yang tidak kisah sama ada cantik atau tidak asalkan hatinya berkenan, bersumberkan keikhlasan, budi pekerti serta pegangan agama
yang mantap.

Lelaki yang benar-benar impikan kebahagiaan lebih mementingkan keperibadian daripada kecantikan, apalagi kecantikan luaran yang sengaja dibina untuk memukau. Kerana dia tahu kecantikan itu tidak kekal. Evolusi usia akan mengubahnya. Kecintaan yang dipahatkan oleh
tautan hati yang jujur lagi ikhlas menjamin kehidupan sejahtera hingga ke penyudah.

Sebaliknya, kecantikan yang terlalu diada-adakan, akan berakhir dengan pertingkahan apabila kecantikan sudah tidak dapat dipermodalkan. Tiada manusia boleh kekal cantik dan tiada manusia boleh kekal muda. Tiba masanya kecantikan akan hilang dan muda bertukar tua.

Jika anda merasakan kurang cantik, ketahuilah itu hanya persepsi anda sahaja. Ukuran cantik tidak pernah sama antara seorang dengan seorang yang lain. Lihatlah orang yang kita rasakan langsung tidak cantik, kadang-kadang jodohnya dengan orang handsome; hingga kita
berkata dalam hati, ËœButa ke dia?

Hiasi diri anda dengan keperibadian mulia, itu lebih utama untuk seorang wanita; hiasi juga wajah anda seadanya, sebab itu lumrahnya wanita. Usah terlalu merawat wajah nanti anda hilang identiti diri.

Hargai diri kerana andalah satu-satunya; tiada duanya dan tiada tiganya. Hanya anda!

Share:

Tuesday, August 26, 2008

Mama, salahkah aku menyintainya?




Aku terkedu apabila soalan itu keluar dari mulut mongel itu lalu singgah di telingaku beberapa tahun lalu. Ya. Aku baru sedar bahawa puteriku sudah remaja, sudah mengenali alam percintaan. Namun apa boleh ku buat, dia telah jatuh cinta!

Apakah yang bakal ku ‘bual’kan kepadanya tentang cinta. Aku mencongak kata-kata yang bakal ku susun, agar dia tidak akan lari dari aku. Aku bertekad untuk menjadi ibu yang mendengar. Jika aku gagal. Aku akan kehilangannya buat selama-lamanya.

Apakah cinta itu sebenarnya? Bagaimana Islam memandang cinta? Bagaimana pula jika cinta telah menghampiri kita?

Cinta atau mahabbah asalnya bermakna bening dan bersih. Boleh diertikan juga air yang melimpah ruah selepas hujan turun dengan lebatnya. Oleh itu boleh disimpulkan al Mahabbah sebagai luapan hati dan gelojak rindu ketika diselubungi keinginan untuk bertemu dengan kekasih.
Cinta boleh membawa sengsara namun boleh juga membawa bahagia. Ianya bergantung kepada bagaimana kita mengurus cinta itu. Islam memandang cinta terhadap berlainan jenis dalam 3 perspektif :

1. Menyintainya kerana Allah (mendekatkan diri pada Allah dan mentaatiNya) . Ini termasuk cinta yang bermanfaat. Contohnya cinta suami isteri yang bernikah untuk menjaga dirinya dari perkara maksiat dan juga bernikah kerana mengikuti sunnah Rasulullah menyambung generasi pejuang.

2. Cinta yang mendatangkan murka Allah. Lebih kita kenali sebagai cinta kerana nafsu berahi. Cinta inilah yang memalingkan kita dari Allah, membuat kita lupa akanNya dan mendorong untuk melanggar syariatNya. Firman Allah yang bermaksud “Dan di antara manusia ada orang yang mengangkat sesembahan selain Allah, mereka mencintai sebagaimana mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat cintanya pada Allah. Dan Allah tidak akan menunjuki orang-orang fasik.” ( al-Baqarah :65)

3. Cinta yang mubah (harus), adalah cinta yang tidak ada unsur kesengajaan. Misalnya ‘cinta pandang pertama’ yang tidak sampai kita membuat maksiat kepada Allah. Kita merahsiakannya dan menahan diri kita untuk tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.

Jadi bagaimana kita menanggapi dan mengurus perasaan cinta yang menghampiri kita?

Mana mampu kita hendak menolak cinta yang datangnya tanpa diundang. Memang perasaan cinta tidak boleh ditahan dan dibendung cuma kita hendaklah berlaku jujur dan menyalurkannya mengikut kehendak syariat. Perasaan ‘cinta suci remaja’ memang biasa diucapkan Cuma dalam hal ini syaitan memainkan peranan dalam menggelincirkan kitakepada kemungkaran dan larangan Allah. Memang adat bercinta semuanya mendakwa cinta mereka ikhlas dan suci murni tetapi syaitan memainkan peranannya sehingga tidak kita sedari ia banyak melanggar larangan Allah. Ingatlah bahawa setiap yang haram itu adalah haram walau apa keadaan sekalipun cuma kita yang kadang-kadang cuba ‘menghalalkannya’ dengan membuat pelbagai alasan, itu dan ini. Di sisi Allah ia adalah satu dosa dan setiap dosa layaknya adalah neraka.

Apa kata kita lihat hadis Rasulullah ini dalam sunah Ibni Majah : “Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah”

Apa? Nikah?!!, Tidak mungkin... sekolah pun belum habis, bagaimana nak bernikah?

Marilah kita lihat apa yang dikatakan pencipta kita : “Janganlah kalian dekati zina...” (al Isra’:32)

“ Ah, terlalu ekstrim! Takkanlah bercinta dianggap mendekati zina?” Tapi bukankah kita pernah dengar sabda Rasulullah: “Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita… Tidaklah bersendirian diri dengan seorang wanita kecuali ketiganya syaitan…” (hari Tabrani). “ Kedua tangan juga dapat berzina dan zinanya adalah menyentuh dan kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju tempat maksiat) dan mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman” (hari. Muslim dan Abu Daud)

Anakku, kamu seorang remaja Muslim yang baik, tidak akan berdalih lagi untuk mengelak dari perkataan Allah dan RasulNya. Mampukah anakku tidak berdalih lagi? Umpamanya kerana kasihan, kerana ingin mendakwahinya, kerana boleh menasihatinya, kerana mencari rakan diskusi intelek, dan sebagainya.

Jadi mama, apa penyelesaiannya?

Bagi anakku yang sudah jatuh cinta, rasakan cintamu dalam hati, berusahalah untuk melupakannya buat sementara waktu dan sibukkan diri dengan sesuatu yang bermanfaat.. .. Tahanlah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama seperti mengelamun, berangan-angan dan membayangkan wajahnya yang tampan dan menggoda. Bersabarlah menghadapi ujian cinta ini. Jagalah batas batas pergaulan. Peliharalah kehormatan diri. Jangan biarkan cinta yang mubah ini menjadi cinta yang salah. Berdoalah kepada Allah agar dipertemukan kamu jika dia paling sesuai untukmu, agamamu dan keluargamu. Apabila tiba masanya nanti, apabila jodohmu ada insyaAllah kamu akan ditemukan dalam hubungan yang diredhai Allah.

Pun begitu perhatikanlah juga perkara-perkara di bawah ini agar hatimu tidak mudah menjadi rawan :

1. Tundukkan pandanganmu dari perkara-perkara yang boleh menaikkan nafsu. Ataupun janganlah merenung kaum berlawanan jenis (an Nur:30-31)

2. Hindari berdua-duaan dan ikhtilat (campur gaul tanpa batasan). Elakkan berinteraksi dengan bukan mahram dengan perkara-perkara kurang penting yang melalaikan.

3.... Hindari dari menonton filem atau drama atau cerita cinta yang mengasyikkan dan mengghairahkan nafsu.

4. Hindari bacaan/novel yang menghanyutkan hati kita lantas tergoda dengan perangkap cinta palsu.

5. Hindari lagu-lagu cinta kerana boleh melemahkan hati dan memendekkan cita-cita.

6. Sibukkan dengan mengaji dan berzikir. Bergaullah dengan kawan-kawan yang baik kerana kadang-kadang hati kita kalah kepada ‘cinta’ ini kerana kebodohan kita terhadap ilmu agama dan lemahnya iman kita.

7. Apabila kita telah mempunyai seorang ‘teman akrab’, cukuplah kiranya kita fahami maksud firman Allah “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata “Aduhai kiranya dulu aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku. Kiranya aku dulu tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku (kekasihku). Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku al-Quran ketika al-Quran telah datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia” (al-Furqan”27-29). Maka janganlah kita menyesal dikemudian hari kerana terlanjur mengambil seorang ‘teman akrab’ yang kononnya menyintai kita.

8. Puasalah untuk meredam perasaan nafsu dan rindu. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan nafsunya maka sesungguhnya syurgalah tempatnya” (an-Naziat:40- 41).

9. Bernikah sahajalah jika sudah benar-benar mampu dari segi fizikal, kewangan, emosi dan intelekmu.

Aduhai mama, susahnya!

Boleh jika kamu mahu, jangan bersedih. Syurga itu kan lebih indah. Dalam sabda Rasulullah juga bersabda bahwa jika kita meninggalkan sesuatu yang disukai manusia tapi dibenci Allah maka Allah akan mencukupkan diri kita dari sesuatu yang kita perlukan.

Alangkah baiknya Allah, sanggupkah kita mengkhianatiNya? Bukankah Dia yang telah mencipta dan memelihara kita selama ini? Tidakkah Dia lebih baik dan sesuai, maka pantas untuk dicintai? Rasulullah bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga ia lebih mencintai Allah daripada mencintai anaknya, orang tuanya dan semua manusia”

Siapakah yang dapat menolong kita di hari akhir nanti? Kekasih kita kah? Tentu tidak. Oleh kerana itu tetaplah tersenyum dan berlapang dada dalam menghadapi cinta ini. InsyaAllah, Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik, kekasih yang suci dan soleh/solehah yang bergelar suami/isteri, di dunia dan syurga di akhirat nanti, insyaAllah.

Namun anakku, jika kamu dan kekasihmu sudah tidak boleh dipisahkan lagi, cintamu sudah terlalu mencengkam kalbu, tidurmu sudah tidak lena lagi, makanmu sudah tidak lagi kenyang, mandimu sudah tidak lagi basah, mama relakan perkahwinanmu. Mama akan aturkan pernikahanmu secepat mungkin, demi menjaga kesucian syariat dan memelihara satu rantaian zuriat masa depan yang bersih,suci dan soleh sepanjang generasi zaman.
Share:

BeMie's Followers

Total Pageviews