Facebook

Monday, August 4, 2008

Wan Nor Azlin




PETALING JAYA: Artis terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain, 39, mungkin sudah memegang pelbagai watak dalam drama sejak menjadi pelakon.Malah, dia pernah memenangi Anugerah Seri Angkasa bagi Pelakon Televisyen Terbaik untuk drama Takbir Untuk Abdah pada 2001. Bagaimanapun, pelakon itu yang pernah menggemparkan negara beberapa tahun lalu kini berhadapan dengan drama yang bukan direka penulis skrip, tetapi buatan suami yang didakwanya berhutang dengan along.


Selepas suaminya menghilangkan diri beberapa bulan lalu, Wan Nor Azlin dan tiga anaknya mendakwa kini hidup dalam ketakutan Kumpulan along berang kerana gagal menemui suami pelakon berkenaan yang dipercayai tidak melunaskan pinjaman. Wan Nor Azlin mendakwa diganggu along sejak kebelakangan ini, termasuk rumahnya ditampal poster yang memaparkan salinan kad pengenalan suami serta tertera ayat ‘Jika awak tak bagi wang awak ialah babi’. Mereka turut menyimbah rumah artis terbabit dengan cat pelbagai warna di Kota Damansara di sini, petang semalam. Sebaik laporan polis dibuat Wan Nor Azlin berkaitan kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara, rumahnya diserbu puluhan wartawan media cetak dan elektronik jam 9 malam tadi. Sebagai seorang pelakon, ternyata Wan Nor Azlin tidak terkejut dengan kehadiran wartawan seramai itu, malah menjangka mereka dapat menghidu kejadian itu. Menceritakan kejadian itu, pelakon berkenaan berkata, dia menyedari rumah yang didiami bersama tiga anak disimbah cat sejurus pulang kira-kira jam 8 malam. “Sebaik tiba di depan rumah, saya terkejut melihat limpahan cat pelbagai warna di halaman. Dinding rumah dan kereta yang diletakkan di depan rumah turut terkena cat,” katanya. Wan Nor Azlin berkata, kejadian seperti itu bukan pertama kali berlaku di kediamannya. Menurutnya, beberapa bulan lalu, dua lelaki pernah membuat bising dan menjerit memanggil nama suaminya di depan rumah. “Mereka turut menampal poster tertera nama suami di sekitar kawasan rumah dan jalan berhampiran. “Suami sering menghilangkan diri dan pernah tidak pulang ke rumah selama dua tahun,” katanya yang meminta suaminya pulang dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Dia pernah membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara pada 18 Julai lalu berhubung kehilangan suaminya. Bimbang kumpulan along bertindak lebih ganas pada masa depan, dia sekali lagi membuat laporan polis malam tadi. Sementara itu, jurucakap syarikat kawalan keselamatan taman perumahan berkenaan, berkata pihaknya sedang mengenal pasti beberapa individu yang masuk ketika kejadian. “Biasanya, pelawat yang mahu memasuki kawasan taman ini diperiksa terlebih dulu. “Kami mengenal pasti dua lelaki yang disyaki dan kes berkenaan dirujuk kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

-adopted- harian metro

Share:

1 comment:

BeMie's Followers

Total Pageviews

Blog Archive