Facebook

Tuesday, May 3, 2011

Mengumpat Yang Diharuskan


"Saya bukan nak mengumpat, tetapi perkara yang saya sebut ni, memang benar - benar berlaku! Saya lihat sendiri."


"Malaslah nak dengar ceramah ustaz tu, asyik mengumpat orang aje."

"Hari ini saya berpuasa, jadi saya tidak mahu join kamu mengumpat."


Dan pelbagai lagi ungkapan yang sering didengari berkaitan dengan mengumpat. Apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan mengumpat? Adakah dikira mengumpat sekiranya apa yang diceritakan itu benar - benar berlaku? Adakah wujud mengumpat yang diharuskan?


Dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 2589), Rasulullah s.a.w bertanya para sahabat : "Adakah kamu tahu apa makna mengumpat?" Para sahabat menjawab "Kamu menyebut sesuatu tentang saudaramu yang ia marah (sekiranya dia mengetahuinya)." Sahabat bertanya: "Sekiranya apa yang disebutkan itu benar - benar wujud, adakah dikira mengumpat juga?" Rasulullah s.a.w menerangkan : "Sekiranya apa yang kamu sebut itu benar - benar wujud (berlaku), maka kamu dikira mengumpat. Dan sekiranya apa yang kamu sebut itu tidak benar, maka kamu dikira telah memfitnahnya."



Takrif Mengumpat

Hadis ini memberi penjelasan yang lengkap tentang mengumpat. Bolehlah disimpul bahawa mengumpat ialah perbuatan menyebut sesuatu yang memang benar - benar wujud (berlaku) tentang seseorang yang sekiranya ia mengetahuinya, ia pasti akan marah. Dalam kitab al - Azkar , Imam al - Nawawi menyediakan takrif yang terperinci tentang mengumpat iaitu:


" Kamu menyebut tentang saudaramu yang ia memarahinya sama ada perkara tersebut berkaitan dengan tubuh badan, agama, dunia, diri, fizikal, akhlak, harta, anak, ayah, pasangan, khadam, hamba, serban, baju, cara berjalan, bergerak, senyuman, masam wajah dan segala - galnya yang berkaitan dengan dirinya, sama ada dengan cara menyebut, menulis, isyarat mata, kepala dan sebagainya."


Mungkin penulis boleh menambah, termasuk juga yang menulisnya di blog, Facebook dan pelbagai mekanisme moden sekarang. Imam Nawawi juga mengingatkan kita bahawa mendengar umpatan juga hukumnya haram. Apabila seseorang mendengar saudaranya mengumpat, maka ia wajib melarangnya jika tidak membawa mudarat atau berusaha menukar tajuk perbualan. Sekiranya tidak mampu, ia mestilah  meninggalkan tempat tersebut atau membencinya dalam hati.


Burger Daging Manusia

Sanggupkah seseorang memakan sekiranya diberitahu bahawa burger yang ada ditangannya dibuat daripada daging manusia yang telah mati? Pastinya dengan penuh jijik ia akan menolaknya. Demikian Allah membuat perumpamaan dalam Al - Quran bahawa mengumpat itu umpama seseorang memakan daging saudaranya yang telah mati. (Surah al - Hujurat 49: 12)


Bahkan ketika peristiwa Israk Mikraj Rasulullah s.a.w diperlihatkan suatu situasi yang sangat mengerikan iaitu satu kaum yang memiliki kuku daripada tembaga sedang mencakar - cakar  wajah dan dada mereka sendiri. Baginda bertanya kepada Jibrail ; "Siapakah mereka itu?" Jiibrail menjawab; "Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah orang lain." (Riwayat Abu Daud no. 4235)


Berdasarkan perumpamaan ini. para ulama menyimpulkan bahawa hukum mengumpat adalah haram termasuk dosa besar yang menuntut pelakunya memaklumkan taubat yang khusus berserta memohon kemaafan daripada orang yang diumpatnya.


Enam Mengumpat yang Diharuskan

Dalam kitab Ihya' Ulum al- Din, setelah Imam al- Ghazali membicarakan secara panjang lebar berkenaan  larangan dan sebab - sebab manusia mengumpat. Dinyatakan juga enam keuzuran (situasi) yang mengharuskan mengumpat, iaitu:
  1. Mengadu kezaliman dan pengkhianatan  yang berlaku.
  2. Meminta pertolongan untuk  mengubah kemungkaran yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut. (Bahkan adakalanya pendedahan ini menjadi wajib apabila kemungkaran yang berlaku melibatkan ancaman kepada aqidah dan masa depan generasi akan datang - penulis)
  3. Meminta fatwa daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w tentang suaminya yang kedekut.
  4. Menyelamatkan saudaranya daripada kejahatan seseorang seperti mendedahkan kejahata seseorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin diserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang  ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukan sekiranya ada. Terdapat 3 golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka maka ia tidak dikira mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seorang yang terang - terang melakukan kefasiqan.
  5. Memperkenalkan seseorang yang memang terkenal dengan gelaran tertentu. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya seperti tempang, buta dan sebagainya.
  6. Seseorang yang terang - terang melakukan kefasiqan  seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika melakukannya secara bersembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.

Walau bagaimana pun , 6 situasi ini mestilah dikawal dengan kaedah "al - dararu tuqaddaru bi qadariha" yang bermaksud setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar diperlukan untuk mengatasi darurat itu sahaja. Ini bermakna sekiranya tidak disebut nama seseorang , maka itu lebih baik. Tetapi sekiranya tidak disebut secara khusus menyebabkan situasi tersebuttidak dapat diatasi atau diselesaikan, maka bolehlah disebut nama. Perbuatan itu masih dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.


Wallahu ‘alam bi sawab.
Oleh : Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang
Solusi #30 hlmn 12 - 13
Share:

2 comments:

BeMie's Followers

Total Pageviews