Menjarakkan kedua-dua belah kaki semasa berdiri dalam solat merupakan perkara sunat sahaja dan ia telah disepakati oleh para ulama. Namun tiada dalil khusus yang menetapkan jarak tertentu secara spesifik. Walaubagaimanapun, terdapat hadis yang tidak menggalakkan untuk merapatkan kedua-dua belah kaki semasa solat, yakni eloklah dijarakkan.
Pandangan yang berkaitan dengan jarak di antara kedua-dua kaki (Atiyyah,Saqar, Min Ahsan al-kalam fi al-fatawa, jil 1, hlm.553 dan al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jil.2 hlm.882):
Mazhab Hanafi : Kadar empat jari tangan. Jika kurang atau terlebih adalah makruh.
Mazhab Syafi'i : Kadar sejengkal
Mazhab Maliki dan Hambali : Kadarnya ialah sederhana menurut uruf, tidak terlalu luas dan tidak terlalu rapat.
Namun jarak dua kaki menjadi penting dan tergolong dalam sunah yang khusus apabila menunaikan solat secara berjemaah. Ini kerana ketika solat berjemaah, saf perlu dirapatkan bersumberkan hadis-hadis yang banyak antaranya : Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Luruskanlah saf kamu (ketika solat), sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku." (Riwayat al-Bukhari no.687)
Baginda juga bersabda yang bermaksud : "Mestilah kamu meluruskan saf kamu atau kamu bercanggah (melakukan kesalahan) dengan arahan Allah di hadapan-Nya." (Riwayat al- Bukhari no.685)
Melurus dan merapatkan saf bererti mesti menjaga jarak kaki. Justeru dalam keadaan tersebut, perlu diingat kadar yang telah ditetapkan oleh ulama. Bagi memperoleh kualiti yang terbaik dan pahala yang banyak, maka pandangan yang disarankan menurut penulis dalam hal jarak antara dua kaki ini adalah seperti berikut:
Ketika Solat Berjemaah
Jarak yang terbaik ialah sehingga menyentuh jari kaki ahli jemaah yang lain di sebelah kita. Ia sekali gus mempertautkan ukhwah dan mampu membuang ego. Imam al-Bukhari (no.692) meriwayatkan perbuatan sahabat apabila rasulullah memerintahkan supaya meluruskan saf : "Adakah semua kami (sahabat) bersentuh bahu kami dengan yang lain, demikian juga hujung kaki."
Kedudukan Kaki Yang Salah |
Kedudukan kaki yg betul, lurus ke arah kiblat |
Menutup celahan di antara saf
Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad, )
Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Ketika Solat Sendirian
Jarak yang terbaik adalah menurut pandangan Maliki dan Hambali, iaitu jarak yang dirasakan selesa dan sesuai dengan saiz tubuh masing-masing. Apa yang penting ialah suatu kedudukan yang beradab serta mampu mendatangkan kekhusyukan.
Sumber : Solusi #28 hlmn 9
0 comments:
Post a Comment